Fidyah ialah ‘denda’ ke atas orang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti yakni qada’ pada bulan Ramadhan.
Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.
Hukum Fidyah
Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum membayar Fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya.
Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Dalil Fidyah
Firman Allah SWT:
Yang bermaksud: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184)
Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Yang bermaksud: “Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.” (Riwayat Al-Tirmizi)
6 Sebab Mereka Yang Dikenakan Fidyah
Mereka yang meninggalkan puasa kerana sudah tua dan uzur.
Mereka terdiri daripada golongan-golongan yang menghidapi sakit yang teruk dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh atau golongan yang tidak mampu berpuasa dan jika mereka berpuasa akan memudaratkan dirinya sendiri dan kesihatan tubuh badannya.
Ibu yang meninggalkan puasa kerana hamil.
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Mereka ini hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan yakni qada’ puasa yang ditinggalkan.
Ibu yang meninggalkan puasa kerana menyusukan anak.
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya hendaklah menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
Orang yang telah meninggal dunia.
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
Mereka yang meninggalkan puasa kerana bermusafir dan pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan.
Para musafir dan pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib mengqadhakan puasanya dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Mereka yang melambatkan ganti puasa yakni qada’ puasa.
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya hingga bulan Ramadhan seterusnya, mereka akan dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan yakni qada’ puasa yang ditinggalkan.
Taksiran Fidyah
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH
Kadar Bayaran Fidyah
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).
Dalam bentuk nilaian matawang adalah berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2019, secupak beras bersamaan dengan 600 gram dinilai dengan kadar RM 4.00.
Bayaran Fidyah
Maybank Pertubuhan Fitrah Ummah
No Akaun: 564801657170
Rujukan: Bayaran Fidyah